Komunikasi ialah salah satu kemahiran paling penting dalam kehidupan sama ada dalam keluarga, kerjaya, persahabatan atau perhubungan sosial. Cara kita menyampaikan sesuatu bukan sekadar tentang apa yang kita katakan, tetapi bagaimana kita mengatakannya. Kadangkala, mesej yang baik pun boleh disalah faham jika disampaikan dengan nada atau gaya yang tidak sesuai. Lihat sahaja bagaimana penulisan sering disalah erti di X atau Threads hanya kerana gaya pembacaan yang tidak tepat.
Tahukah anda bahawa setiap individu mempunyai gaya komunikasi yang berbeza? Tanpa kita sedari, kita mungkin cenderung menggunakan gaya komunikasi yang sama berulang kali sama sama ada pasif, agresif, pasif-agresif, atau asertif.
Menyedari gaya kita sendiri adalah langkah pertama untuk menjadi seorang komunikator yang lebih berkesan.
Empat Gaya Komunikasi Utama
1. Gaya Pasif
Individu yang berkomunikasi secara pasif biasanya tidak menyuarakan perasaan, kehendak atau pendapat mereka secara terbuka. Mereka lebih suka mengalah, diam atau mengelak konfrontasi kerana tidak mahu menyusahkan orang lain walaupun diri sendiri yang menanggung tekanan.
Selalunya mereka akan berkata, “Tak apa, saya ikut saja,” walaupun dalam hati sebenarnya tidak bersetuju. Lama-kelamaan, sikap ini boleh membawa kepada rasa tidak puas hati yang terpendam, kurang keyakinan diri dan hubungan yang tidak seimbang.
2. Gaya Agresif
Individu agresif pula sering menyampaikan mesej mereka dengan lantang, keras dan mendominasi perbualan. Mereka sering memotong cakap orang lain, meninggikan suara, dan mungkin menggunakan kata-kata sinis atau menyakitkan. Fokus mereka ialah untuk “menang” dalam perbualan, tanpa mengambil kira perasaan orang lain.
Walaupun maksud mereka jelas, gaya ini sering meninggalkan kesan negatif dalam hubungan, orang akan mula menjauh, takut, atau memendam rasa tidak selesa.
3. Gaya Pasif-Agresif
Gaya ini nampak tenang di luar, tetapi sebenarnya penuh dengan rasa tidak puas hati yang disampaikan secara tidak langsung. Individu pasif-agresif tidak menyatakan kemarahan atau tidak setuju secara terbuka, sebaliknya lebih gemar menggunakan sindiran, diam membisu, atau tindakan sabotaj halus untuk memperoleh apa yang dihajatkan atau “menang” dalam perbualan.
Contohnya, mereka akan bersetuju dengan senyuman, tetapi kemudiannya melakukan perkara yang sebaliknya. Gaya ini sukar difahami, dan sering menimbulkan kekeliruan serta ketegangan dalam hubungan.
4. Gaya Asertif
Inilah gaya komunikasi paling sihat dan berkesan. Individu asertif berani menyuarakan pendapat, perasaan dan keperluan mereka dengan jujur, jelas dan hormat. Mereka tahu bila perlu bersetuju dan bila perlu menolak dengan sopan. Mereka juga mendengar pandangan orang lain dan tidak menjatuhkan sesiapa dalam menyampaikan mesej.
Gaya ini menunjukkan keyakinan diri yang seimbang, tidak tunduk, tidak mengarah, tetapi menghormati hak semua pihak. Asertif membina hubungan yang kukuh, komunikasi yang jujur dan suasana yang lebih selesa untuk kedua-dua pihak.
Kenapa Penting Untuk Tahu Gaya Komunikasi Kita?
Gaya komunikasi mempengaruhi cara kita menyelesaikan konflik, membina kepercayaan, melindungi diri, dan menjaga kesihatan mental. Jika anda selalu rasa dipijak, tidak didengari, atau sering menyesal selepas berbual dengan seseorang, besar kemungkinan gaya komunikasi anda tidak seimbang.
Dengan mengenal pasti gaya yang kita gunakan, kita boleh mula membentuk corak komunikasi yang lebih sihat, lebih jelas dan lebih menghormati diri sendiri serta orang lain.
Bagaimana Beralih kepada Komunikasi Asertif?
Gaya komunikasi bukan sesuatu yang kekal, ia boleh dipelajari dan dilatih. Berikut antara langkah praktikal untuk menjadi lebih asertif:
- Gunakan “saya” dalam ayat anda. Contoh: “Saya rasa tak selesa bila dipotong semasa bercakap,” berbanding “Awak tak hormat saya!”
- Latih diri menyuarakan pendapat dengan tenang. Tak perlu berteriak untuk didengari. Nada suara yang yakin lebih berkesan.
- Belajar berkata “tidak” tanpa rasa bersalah. Menjaga diri itu bukan mementingkan diri.
- Hargai diri sendiri. Anda berhak untuk didengar dan dihormati sama seperti orang lain.
Suara Anda Penting
Komunikasi yang sihat bermula dengan kesedaran, siapa kita, apa yang kita rasa, dan bagaimana kita menyampaikannya. Dalam dunia yang penuh suara dan pandangan ini, menjadi asertif adalah kunci untuk memastikan kita tetap didengari tanpa melukakan orang lain.
Jadilah individu yang boleh bersuara dengan bijak, mendengar dengan hati, dan berinteraksi dengan penuh hormat. Kerana gaya komunikasi bukan hanya tentang bercakap, ia tentang siapa kita, dan bagaimana kita membina hubungan yang bermakna.
Perlukan Latihan untuk Tampil lebih Yakin?
YouGo Training menyediakan bengkel profesional dalam pengucapan awam, komunikasi efektif dan pembangunan kendiri untuk individu dan organisasi.
Hubungi kami untuk maklumat lanjut!

Sertai bengkel Rahsia Memukau Audiens yang dipimpin oleh hos terkemuka, Tuan Haji Zainal Ariffin Ismail yang akan berlangsung 27 Julai 2025 di Dekat KL, Taman Rampai, Kuala Lumpur. Klik untuk maklumat lanjut!
YOUGO TRAINING & MEDIA CONSULTANCY
WhatsApp: +6012-3456055
Email: yougotrainingmedia@gmail.com
http://www.yougotraining.com



Leave a comment