Jika anda bercita-cita untuk mencuba nasib di hadapan kamera di dalam bidang penyiaran, proses ujibakat, atau audisyen adalah sesuatu yang pasti anda akan lalui. Bagaimana untuk menyerlah di audisyen nanti? Baca tip audisyen dari tiga personaliti terkemuka di bawah ini.

Tip Audisyen Dari Halim Othman

“Tidak kira program apa yang anda minat untuk audisyen, pastikan anda bersedia dengan satu atau dua bakat yang lain daripada yang lain. Contohnya, boleh meniru gaya seseorang artis terkemuka atau boleh menyanyi rap. Ini boleh memberi sedikit kelebihan kepada anda. Kalau pun tak pandai, cuba untuk membuat sesuatu. Biasanya, panel pemilih ingin melihat samada anda pandai untuk berinteraksi, dan juga reaksi seseorang bila diletakkan di dalam keadaan yang kurang selesa, seperti disuruh menyanyi sedangkan anda mengujibakat untuk menjadi seorang pengacara. Jangan panik, atau rasa tersinggung. Ini adalah perkara biasa.”

Tip Audisyen Dari Nurul Syuhada Nurul Ain

“Pastikan ketrampilan yang menarik sebelum menghadiri audisyen. Memang bakat itu paling penting, tetapi membuat ‘first impression’ yang baik juga sangat membantu. Buat kaum Hawa, pakailah busana yang sesuai, tidak terlalu sarat, dan tidak terlalu ‘simple’ sehingga menampakkan yang anda tidak berusaha langsung. Ada juga yang inginkan ‘natural look’, tapi lebih baik jika sedikit mekap digunakan untuk kelihatan lebih berseri dan bertenaga.”

Tip Audisyen Dari M. Zulkifli

“Tidak kira audisyen untuk program apa pun, adalah baik untuk anda membaca perihal isu-isu semasa sebelum berdepan dengan panel pemilih. Ini menunjukkan anda ada membuat ‘homework’, dan jika ada soalan-soalan berat yang diajukan, anda tidak kelihatan ‘lost’, dan ada asas untuk ‘goreng’. Pilih dua atau tiga isu paling hangat dan bersedia untuk memberi pandangan anda sendiri. Tidak ada jawapan betul, atau salah, yang penting, anda kelihatan selesa dan yakin.”