Cara Menjaga Diri di Hujung Minggu

Selepas 5 hari bekerja yang padat dengan mesyuarat, e-mel dan tugasan kerja yang tak putus-putus, hujung minggu sepatutnya menjadi ruang untuk ‘bernafas semula’. Tapi ramai di antara kita yang masih terbawa-bawa tekanan kerja ke rumah, fizikalnya bercuti, tetapi mentalnya masih “on call”.

Jadi, bagaimana cara terbaik untuk benar-benar berehat dan menyegarkan semula tenaga dan emosi anda? Berikut adalah beberapa cara yang praktikal dan berkesan untuk menjaga diri di hujung minggu:

1. Putuskan Hubungan dengan Kerja Sebentar, Fokus Kepada Diri Sendiri

Hujung minggu ialah untuk diri sendiri dan keluarga! Oleh itu, cuba tutup notifikasi e-mel dan WhatsApp kerja buat sementara. Bila kita benar-benar ‘putus’ dari tuntutan kerja, barulah minda dapat berehat dan kembali fokus kepada hal-hal yang memberi makna dalam hidup.

2. Keluar dan Hirup Udara Segar

Janganlah asyik terperap di rumah pula di hujung minggu, luangkan masa di luar rumah juga. Tak semestinya perlu pergi jauh-jauh, jalan-jalan di taman, berbasikal sekitar kawasan rumah, atau duduk santai bawah pokok sambil minum kopi pun sudah cukup menenangkan. Alam semula jadi ada kuasa menyembuhkan tubuh dan minda kita. .

3. Gerakkan Badan Dengan Cara Yang Anda Suka

Aktiviti fizikal membantu melepaskan hormon endorfin yang buat kita rasa gembira. Tak perlu bersenam berat, cukup sekadar regangan, menari sambil mendengar lagu, berenang, atau berkebun. Pilihlah aktiviti fizikal yang anda suka dan jadikan pergerakan satu bentuk terapi, dan bukan suatu paksaan.

 4. Lakukan Aktiviti Kreatif atau Praktikal

Di pejabat sudah penat menggunakan minda, apa kata hujung minggu kita gunakan tangan pula untuk ‘mematikan’ tekanan mental. Anda boleh melukis, mencantum puzzle, menjahit, memasak resipi baru atau susun atur rumah. Bila anda fokus pada aktiviti fizikal yang menyeronokkan, otak anda akan ‘switch off’ dari hal-hal kerja.

5. Nikmati ‘Pagi Perlahan’ Tanpa Tekanan

Tidak perlu bergegas selepas solat Subuh, boleh beriktikaf di masjid dan mengaji lama sikit. Ambil masa untuk bersarapan dengan tenang, minum kopi perlahan-lahan, baca buku atau tulis jurnal. Bila kita mulakan hari tanpa tergesa-gesa, kita beri ruang kepada diri untuk kembali selari dengan emosi dan tubuh sendiri.

6. Luangkan Masa Berkualiti Bersama Orang Tersayang

Kadangkala yang kita perlukan bukanlah aktiviti yang luar biasa, tapi masa bersama dengan mereka yang tersayang, anak, pasangan, rakan atau haiwan peliharaan. Masa bersama mereka memberikan memori indah yang tidak dapat dijual beli.

7. Refleksi Ringkas di Hujung Minggu

Ambil masa 10 minit untuk menenangkan fikiran dan fikirkan matlamat kecil minggu depan. Bukan untuk menambah tekanan, tetapi untuk membantu anda mulakan minggu baru dengan lebih tenang dan jelas arah tuju.

Apabila kita penat, tubuh dan jiwa kita perlukan ruang untuk pulih. Hujung minggu bukan sekadar masa rehat, ia adalah peluang untuk ‘kembali kepada diri sendiri’, healing. Jadi, berhenti sekejap, nikmati momen dengan mereka yang tersayang, dan beri diri anda hak untuk berehat tanpa rasa bersalah.

YOUGO TRAINING & MEDIA CONSULTANCY
WhatsApp: +6012-3456055
Email: yougotrainingmedia@gmail.com

Leave a comment